Wednesday, March 1, 2017

WACANA PENERBITAN BUKU BERSAMA PROF ABDULLAH HASSAN

Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek: 1 Mac 2017: Prof Emeritius Abdullah Hassan adalah nama besar dalam industri penerbitan. Beliau adalah  pakar bahasa dan linguistik yang tersohor di Malaysia. Selain daripada itu dia juga adalah pemilik  PTS Publication yang menerbitkan pelbagai judul buku ilmiah. Mendengar  bual bicara dalam wacananya betapa penerbitan industri buku di Malaysia dan di dunia sedang menghadapi  persaingan hebat  disebabkan kemajuan dan kepesatan  teknologi digital. Menurutnya buku kini bukan sahaja boleh dinikmati secara fizikal, malah ia boleh di akses secara digital dengan mudah menggunakan internet melalui  komputer peribadi, tablet dan smartphone. Abdullah menegaskan ancaman yang paling besar dalam industri penerbitan dan percetakan buku apabila  jualan dan percetakan buku telah berlaku penurunan permintaan yang banyak.




Jika dahulu judul buku  baharu dicetak lebih daripada 5000 naskhah, namun hal itu telah berubah sama sekali. Menyedari keadaan itu PTS  telah membangunkan BOOK-CAFE online book shop, iaitu  laman web yang dibangunkan oleh PTS bagi menjual pelbagai buku terbitan PTS dan penerbit lain dengan tawaran diskaun sehingga 30 peratus.  Pada masa ini cetakan buku boleh dicetak secara print on demand (POD)  berasaskan keperluan permintaan pelanggan. Banyak penerbit  telah bergerak ke arah FAST PRINT iaitu tempoh masa menerbit dan mencetak buku dibuat kurang daripada 3 bulan. Malah dalam keadaan tertentu buku boleh dihasilkan dalam tempoh 3 minggu. Hal itu dapat dibuat disebabkan oleh kecanggihan teknologi komputer grafik yang melibatkan software dan hardware grafik yang liut dan fleksibel.  Pada ketika ini cetakan secara POD sedang berkembang pesat dan ia merupakan trend baharu dalam penerbitan dan percetakan buku dunia.  Buku kini bukan sahaja boleh dijual secara fizikal malah ia sudah dijual secara digital. Perkembangan digital publishing  sedang mengalami permintaan yang tinggi daripada pembaca netizen. Generasi digital native (netizen)  kebanyakan memilih buku digital kerana  harga buku digital hampir separuh lebih murah daripada buku fizikal. Malah buku digital boleh dibaca secara percuma. Katanya lagi bagi generasi digital imagran yang lahir dizaman baby boom keseronokan membaca adalah dengan menggunakan buku fizikal.