Wednesday, October 30, 2019

INDUSTRI PENERBITAN  MEDIA CETAK  DIPERSIMPANGAN 

Kuala Lumpur: 30 Oktober 2019; Penutupan penerbitan operasi syarikat  Utusan Malaysia, adalah satu berita sedih kepada pembaca setia Utusan Malaysia dan Kosmo. Yang lebih sedih adalah staf dan ahli keluarga syarikat tersebut yang telah kehilangan punca pendapatan keluarga. Kini kemana mereka akan pergi mencari rezeki adalah terpulang kepada ikhtiar hidup masing-masing. Syarikat ini pada awalnya  ditubuhkan pada sekitar tahun 1940 an, adalah syarikat yang menerbitkan surat khabar Utusan Melayu dalam tulisan jawi. Suara keramat utusan ketika itu adalah berkaitan perjuangan untung nasib orang-orang melayu dalam menegakkan negara bangsa merdeka.

Kemorosotan jualan akhbar dan  buku bukan sahaja dialami oleh syarikat utusan malah ia dihadapi juga syarikat penerbitan akhbar yang lain. Kelangsungan hidup syarikat penerbitan akhbar seluruh dunia sebenarnya sangat bergantung kepada pendapatan iklan oleh syarikat pengeluaran barangan, produk dan perkhidmatan. Kerana itu didapati beberapa surat khabar berbahasa inggeris dan cina dapat terus hidup kerana sokongan pengeluar produk dan perkhidmatan yang beriklan dalam akhbar berkenaan. Hal ini berlaku diseluruh dunia, misalnya di Amerika Syarikat banyak syarikat surat khabar dan majalah telah jatuh bangkrap dan ditutup. Kenapa hal ini berlaku?.

Sebab utama ialah tabiat membaca mayarakat sudah berubah akibat daripada teknologi digital dan laman sesawang yang boleh diakses ditapak tangan dan di skrin komputer. Teknologi komputer dan telefon pintar berinternet yang serba canggih adalah sebab utama kepada kehancuran bahan penerbitan bercetak yang bersifat fizikal. Hari ini facebook, u-tube, tweeter,  istagram, whatsapps, we chat dan sebagainya adalah medium berita utama masyarakat netizen. Kelemahan sumber berita itu, ia sangat terdedah kepada penipuan dan kepalsuan cerita yang disebarkan. Kerana itu netizen perlu menyaring  semua maklumat yang diterima, jika tidak mahu terjebat dengan kepalsuan.